Berapa ramai antara kita yang mengambil berat mengenai kecantikan kaki? Antara kaki dan muka, pastinya kita akan melebihkan penjagaan rapi di bahagian wajah terlebih dulu kerana ia mampu memberi pandangan atau persepsi pertama kepada individu yang menatapnya.
Berbeza dengan bahagian kaki, ia akan diambil perhatian jika mula berasa tidak selesa dan seterusnya menimbulkan rasa sakit hingga menggangu perjalanan rutin seharian.
Menurut Pengarah Jualan dan Pemasaran Curio Sdn Bhd Rahimah Yaali, banyak sebab kaki menjadi tidak selesa dan sakit sekali gus menjejaskan produktiviti kerja harian.
“Kawasan biasa yang bermasalah adalah di bahagian tapak kaki dan tumit terutama dalam kalangan individu yang gemar mengenakan kasut tumit tinggi atau but dalam tempoh lama, wanita hamil, pesakit kencing manis atau mempunyai berat badan berlebihan.
“Penjagaan kaki yang dipandang ringan ini boleh menjejaskan kesihatan tapak kaki hingga menyebabkan kesan merekah dan berasa tidak selesa. Jika dibiarkan tanpa rawatan, ia boleh membentuk ketuat, berakar dan kulit tebal (callus) hingga menyebabkan rasa sakit atau bengkak,” katanya.
Justeru, Curio Spa di Bangi Sentral ini memberi fokus terhadap rawatan kuku kaki dan tangan bagi individu yang sibuk atau tidak tahu merawat masalah berkaitan.
Bukan itu saja, terdapat juga rawatan utama yang disediakan iaitu Anti Callus bagi membantu menyelesaikan masalah di bahagian tumit dan tapak kaki.
Tempoh rawatan dilakukan mengikut keadaan atau masalah yang dihadapi dan biasanya mengambil masa antara 45 minit hingga satu jam. Jika mengalami masalah tumit kaki kering, pelanggan disarankan untuk melakukan rawatan bersesuaian sekali dalam sebulan.
“Namun, jika masalah tumit atau tapak kaki yang teruk, rawatan perlu dilakukan dua kali sebulan di spa bersama penjagaan tambahan sendiri di rumah menggunakan produk yang dibekalkan.
“Produk tumit pecah yang digunakan di spa dan rawatan di rumah itu menggunakan bahan semula jadi seperti aloe vera, ekstrak bunga kenanga dan bengkuang yang memberi kebaikan kepada kesihatan serta kecantikan kaki.
“Misalnya, ketika rawatan Anti Callus, kaki pengunjung akan direndam ke dalam air suam dan garam bukit selama lima hingga tujuh minit bagi membantu membuang kotoran sebelum melakukan rawatan selanjutnya,” katanya.
Selain di Bangi Sentral, spa rawatan tangan dan kaki itu juga boleh dikunjungi di cawangannya yang terletak di pusat beli-belah Ampang Point dan Wangsa Walk.
Sejak 12 tahun ditubuhkan, jenama berkenaan memberi fokus terhadap rawatan kuku tangan dan kaki di samping mendidik pelanggannya mengenai proses penjagaan kesihatan serta dan kecantikan bahagian yang sering dipandang remeh itu.
Bagi menarik pelanggan muda selain golongan dewasa, spa yang dibuka setiap hari itu dihias dengan dekorasi ringkas, berkonsep hispter (berbeza di setiap cawangan) dan menawarkan harga berpatutan bagi menyedarkan mereka mengenai kepentingan penjagaan kaki sejak awal.
Selain menerima pelanggan, spa berkenaan juga mendapat kerjasama daripada sebuah hospital swasta untuk merujuk pesakit diabetes yang mengalami masalah kaki bagi mendapatkan rawatan lanjutan yang bersesuaian.
Penjagaan kebersihan dan keselesaan turut diterapkan sepanjang sesi rawatan dengan mewajibkan setiap juruterapi di spa berkenaan mengenakan topeng mulut, sarung tangan dan apron.